Welcome

Hiduplah Atas Usaha Sendiri

Dalam senarai nama orang-orang soleh zaman dahulu,ada satu nama yang sangat terkenal.Bahkan termasuk dalam kelompok wali Allah.Namanya Ibrahim bin Adham.Suatu masa,seorang kawannya bernama Al-Balkhi telah pergi berniaga ke satu negeri yang jauh.

Tetapi beberapa hari kemudian Al-Balkhi muncul semula.Hairan Ibrahim kerana cepat benar kawannya itu pulang.Di mana dia berniaga dan apa yang diniagakannya?Untuk menghilangkan tanda tanya,Ibrahim Adham lalu bertanya kepada Al-Balkhi.Dan Al-Balkhi pun menceritakan apa yang telah berlaku.

Semasa singgah berehat, dia ternampak seekor burung yang kudung kaki serta buta pula kedua-dua belah matanya. Terdetik di dalam hatinya, macam mana burung itu boleh hidup di dalam hal keadaan tidak boleh bergerak dan tidak boleh melihat?

Tidak lama kemudian datang seekor burung lain menghampirinya membawa sedikit makanan. Seharian Al-Balkhi duduk memerhatikan dua ekor burung itu. Ternyata burung cacat itu tidak kelaparan kerana berulang kali didatangi burung-burung lain membawa makanan untuknya.

"Lalu, aku pun membuat kesimpulan..." kata Al-Balkhi, "Kalaulah burung yang kudung dan buta tetap juga menerima pemberian rezeki dari Allah yang Maha Pemberi Rezeki, sudah tentu dia akan memberi rezeki kepadaku sekalipun aku tidak bekerja."

"Oo... Jadi sebab itulah kamu balik semula?"

"Ya", jawab Al-Balkhi.

"Rendahnya fikiran kamu. Engkau sanggup meletakkan dirimu sama taraf dengan burung yang cacat. Dan engkau merelakan dirimu untuk hidup atas balas kasihan dan bantuan makhluk lain," Ibrahim mula memberikan nasihatnya.

"Mengapa tidak mencontohi burung yang seekor lagi tu? Ia bekerja keras untuk memenuhi keperluan hidupnya sendiri dan keperluan hidup kawannya yang memang tidak mampu bekerja," tambah Syeikh Ibrahim b. Adham lagi. "Apakah engkau lupa tangan yang diatas lebih baik dari tangan yang di bawah?"

Tiba-tiba Al-Balkhi seperti baru tersedar.Nasihat dan teguran bertalu-talu itu cukup untik mengetuk mindanya. Dia sudah tersalah membuat kesimpulan dan pilihan. Segera Al-Balkhi bangkit dan bersalam dengan Ibrahim.

"Wahai Abu Ishak[gelaran Ibrahim Adham], engkau memang guru kami yang baik" kata Al-Balkhi sambil tunduk mencium tangan Ibrahim. Kemudian bermohon diri untuk pergi berdagang semula.
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Hiduplah Atas Usaha Sendiri"

Post a Comment

Copyright 2009 Islamic Blog
Free WordPress Themes designed by EZwpthemes
Entries RSS & Comments RSS
Converted by Theme Craft
This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates